Demi pena , dan apa yang dituliskannya; [68:1]

Monday, March 21, 2011

menulis?

Bismillahirrahmanirrahim [96:1]

Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...



Masya-Allah, lama sungguh tidak menulis di sini. Sesekali rajin juga menjengah, melihat-lihat perkembangan trafik di blog.

Alhamdulillah, ramai yang digerakkan hatinya oleh Allah untuk datang ke sini. Semoga semua beroleh manfaatnya, insya-Allah.

Syukur, saya kini sedang menikmati cuti dua minggu daripada kehidupan kolej yang sibuk, menyesakkan, dan mencabar dalam tenangnya lautan ilmu. Ternyata, saya kini lebih menghargai masa-masa 'emas' bersama keluarga setelah dicampakkan ke verdant uplands' itu.

Berbalik kepada topik yang ingin saya sentuh pada hari ini, mungkin agak ringkas, sedikit ringan dan bukanlah berbentuk pengisian formal; namun, pengalaman juga punya hikmah yang tidak kurang nilainya untuk dijadikan sesuatu yang bermanfaat dalam kehidupan, bukan? Maka, bacalah...

Saya bersyukur, mula berkecimpung dalam dunia penulisan blog pada usia yang agak muda , yang mana bolehlah saya kategorikan pada usia yang agak belum matang.(mengikut perkembangan biologi penulis lah;) Tulisan-tulisan saya yang sebelum ini amatlah
tidak matang dan tidak habis-habis berkisar sekitar kehidupan harian semata-mata! Tulisan masih bergilir-gilir kecil dan besar,dicampur pula dengan simbol-simbol yang memeningkan, ayat-ayat yang tidak bersambungan (mahu kena tegur dengan Ms. Daleen, kerana kurang 'coherence'!) dan cerita-cerita yang tidak menambahkan fikrah dan kefahaman!

Belum pula masuk pada layout blognya yang sarat dan BERAT dengan gambar-gambar yang tidak perlu, slideshow yang mengganggu, dan bintang-bintang dan corak-corak warna-warni seperti pelajar tahun satu! Bila diingat kembali, sungguh memalukan rasanya...

Matlamat?



Tujuan mempunyai blog ketika itu? Hmph! Usah ditanya. Saya sendiri tidak tahu pada awalnya kenapa saya mula menulis blog. Mungkin kerana trend melihatkan agak ramai senior mempunyai blog ketika itu? Entahlah, saya sendiri kurang pasti, kiranya ada yang bertanya. YA, dan inilah puncanya. Inilah puncanya kepada tulisan-tulisan masa lalu saya yang saya kira kurang (atau tidak?) mendatangkan manfaat kepada para pembaca; apabila si penulis blog menulis blog TANPA TUJUAN! Astaghfirullah... Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita yang silam.

Masa pantas berlalu

Seiring masa yang bergerak pantas, taman ilmu Sekolah Islam Hidayah semakin rancak menyuburkan hati saya dengan ruh dakwah dan tarbiyyah seiring dengan pembinaan sahsiah dan rohani, tiada henti. Masuk kelas Bahasa Melayu, namun soal akhlak yang disentuh,masuk kelas Biologi, namun soal iman yang dikupas. Begitulah uniknya Islam Hidayah dengan kurikulumnya yang merentasi aqidah. Belum masuk pula kepada program-program lain seperti usrah, daurah, rehlah, mukhayyam, majlis nuqaba' dan sebagainya yang membuatkan saya cukup 'letih' ketika berada di zaman persekolahan dahulu.

Namun, ya, semua inilah (yang diperolehi selama sepuluh tahun!) yang memberi rencah dan warna kepada kehidupan saya dan melahirkan siapa saya pada hari ini, dan hikmahnya yang berbaki terus saya gunakan untuk memperbaiki diri dari hari ke hari , mudah-mudahan sehingga ke akhir hayat nanti.

Dan berbalik kepada isu saya ini, (kenapa macam lari topik ni?) hikmah dan pedoman yang saya kutip di taman ilmu (dan lain-lain) itulah yang membuatkan saya mula berfikir sejenak dan bermuhasabah semula tentang penulisan di blog saya ini. Seakan-akan ada sesuatu yang perlu diubah! Tetapi.... apa?

Koreksi untuk perbaiki

Mungkin tulisan-tulisan saya kurang 'ruh'nya yang menjadikannya 'hidup' pada mata pembaca. Di mana petikan ayat dari Al-Quran? sedang itulah yang saya hafal
setiap hari. Di mana ilmu agamanya? sedang itulah yang saya pelajari saban hari. Di mana sirah dan cerita-cerita ketokohan pada sahabat? sedang itulah yang
saya teladani dalam usrah setiap minggu berganti. Semua ilmu ini tidak pun saya tempiaskan dalam penulisan blog! Yang tinggal di blog pada ketika itu, hanyalah cerita-cerita sisi harian di sekolah, di rumah, dan macam-macam lagi yang hanya menyeronokkan diri yang menulis namun sangat 'kering' dengan hikmah kepada pembaca!

Lalu, agaknya terkesan dengan inspirasi nama kelas saya waktu itu, Islah; saya melaksanakan sedikit demi sedikit pengislahan (pembaikan) kepada isi penulisan blog saya sedikit demi sedikit. Sehingga beberapa waktu selepas itu ada teman saya yang berpendapat bahawa tulisan di blog memang tidak menggambarkan watak saya yang sebenar.(pada waktu itulah...)

"Macam bukan awak yang tulis," katanya.

Kenapa? kerana kematangan penulisan saya telah jauh meninggalkan kematangan perlakuan saya sendiri!

Di situlah bermulanya

Demi pena , dan apa yang dituliskannya; [68:1]

Ya, apapun, saya yakin dan percaya, kerana saya mula menulis pada usia yang sedemikianlah, saya boleh mencapai tahap kematangan dalam penulisan seperti yang terhidang pada kalian pada hari ini. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah Al-'Aliim yang telah mengajarkan saya secebis ilmu dalam dunia blog ini. Ya, tidaklah sematang mana; namun pengalaman lalu(yang tidak matang itu!) membantu saya untuk terus mendaki dan mengubah cara dan gaya pemikiran dan penulisan sedikit demi sedikit agar lebih matang, menarik, bermanfaat dan yang paling penting, supaya kalian yang membaca; FAHAM sepertimana yang saya ingin kalian faham, selari dengan 'tagline' blog saya ini. To Make People Understand!

Jihad pena

Jangan kita lupa, bahawa bagi kita yang muslim, menulis juga boleh diusahakan sebagai sebuah jihad yang turut boleh diniatkan sebagai ibadah, kepada Allah, yang Maha Esa. Makna jihad, kesukaran, kesulitan, kepayahan. Ya, menulis memang tidak senang. Perlukan perahan idea untuk intinya, perlu korbankan banyaknya masa untuk menyiapkannya, dan perlukan ketelitian untuk penilaian semula. dan yang paling penting, perlu DITERIMA apa sahaja risiko yang datang setelah anda menekan butang 'publish'! risiko dunia, risiko akhirat. Tidak senang, bukan? kerana inilah jihad kita, jihad pena! Kena pada niatnya, kena pada caranya, insya-Allah akan diterima sebagai ibadah disisiNya. Indahnya bukan?

Jadi, untuk kalian yang pernah mempunyai blog namun dilelapkannya, mempunyai blog namun di-private-kan atas dasar untuk membaca sendiri suka-suka, ataupun belum mempunyai blog TETAPI; mempunyai matlamat hidup yang jelas dan fikrah yang melaut, usah dibiarkan bertakung! Alirkanlah... alirkanlah segala ilmu yang ada agar bisa menyirami jiwa-jiwa pembaca dengan segar manfaatnya. Jangan risau apa kata orang,
kerana jangan kita lupa, betapa adilnya Allah yang menilai segala amal kita berdasarkan niat, bukan hasilnya semata-mata.

Jika belum 'selesa' dengan wahana blog yang sering kali mengundang fitnah, boleh sahaja dicuba cara lain seperti dakwah melaluistatus di Facebook atau burung Twitter (saya pasti anda ada!) yang lebih ringkas dan tidak memakan masa, ataupun dimana-mana sahajalah yang kalian lebih arif tentangnya. Tidak mahukah kita tergolong dalam golongan orang-orang yang berjaya?


"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam),dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji).Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang BERJAYA. " [3:104]


Namun, untuk yang sudah pun memiliki blog bersama-sama puluhan akaun di macam-macam laman sosial di alam maya ini, sewajarnya kita berhati-hati kerana kelak, segala-galanya akan dipersoalkan kembali. Jangan sampai dakwat pena menjadi racun; memakan diri.

Jernihkanlah niat, sucikanlah mata pena, agar tulisan yang dihasilkan bertujuan hanya satu; berdasarkan kalimah teragung 'Lailahaillallah' dan demi redha Allah yang tiada tandingannya!

WallahuA'lam.
To Make People Understand.
Bicara-Sang-Khalifah2011

Picture Credits;
KC

0 komentar: