Demi pena , dan apa yang dituliskannya; [68:1]

Wednesday, September 15, 2010

tetamu?

Bismillahirrahmanirrahim [96:1]

Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Subhanallah...



"Antara faktor-faktor imperialisme di Asia Tenggara ialah...."

"Assalamu'alaykum! Kami datang nak raya!"
Sekawan kanak-kanak beratur di depan pintu pagar.

*Layan*
*tutup pagar*
*sambung*

"Yang pertama, sistem pengangkutan dan perhubungan, kedua,"

"Assalamu'alaykum! Assalamu'alaykum! Ada orang tak? Assalamu'alaykum!"
Sekumpulan kanak-kanak datang lagi.

*Layan*
*tutup pagar*
*sambung*

"..........Revolusi perindustrian, yang ketiga,"

*loceng berbunyi* Assalamu'alaykum! *loceng berbunyi* *loceng berbunyi*
Sekawan kanak-kanak yang begitu gembira melihat butang loceng, barangkali.

*Layan*
*tutup pagar*
*sambung*

"Kekayaan bahan mentah, yang keempat......."

"Assalamu'alaykum!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!"
Laungan sekawan kanak-kanak yang menggegarkan rumah.

Saya mula hilang sabar.

-------------------------------

Ternyata menjadi satu-satunya tuan rumah yang wujud di rumah pada hari raya serta menjadi calon SPM 2010 pada masa yang sama bukanlah suatu perkara yang mudah, mana mungkin kita menampal kertas yang tertulis, sila datang pada jam sekian-sekian sahaja di hadapan pintu rumah. Menolak nikmat penghapus dosa namanya! Namun, saya memang tidak menyangka akan menerima kehadiran (bertubi-tubi!) sebegitu ramai kanak-kanak dan kurang bersedia menerima tetamu pada hari tersebut. Kepingan duit-duit hijau masih terikat kemas pada tempatnya, sampul duit raya entah ke mana, kuih-kuih raya belum dibuka, dan masalah terbesar, kerosakan penapis air yang terjadi bukan pada masanya! Mungkin juga kerana guru-guru bertubi-tubi mengingatkan di sekolah, agar tidak beraya sakan menyebabkan saya hanya merasakan mood hari raya pada hari yang pertama sahaja!

...dan hari tersebut berakhir dengan kedatangan tetamu melebihi 40 orang dalam masa beberapa jam!

Tidak, bukan saya tidak suka dengan kehadiran tetamu-tetamu yang memuliakan rumah di hari raya, namun, mungkin didorong atas masalah 'ketidaksediaan' dan sikap diri sendiri yang kurang suka diganggu apabila sedang 'khusyuk' belajar. Kesabaran saya agak tergugat dengan karenah tetamu yang macam-macam, sambil cuba untuk terus tersenyum dan memberikan layanan terbaik. :)

dan pada malamnya, seperti biasa, saya bermuhasabah seketika, agar saya lebih bersedia dan lebih ikhlas menerima tetamu pada keesokan hari; Mudah sahaja melembutkan hati, hanya dengan kembali membaca kisah-kisah utusan Allah, pengajaran dan ibrah untuk umatnya!

"Sesiapa yang ada beriman kepada Allah dan hari kemudian,
maka hendaklah dia memuliakan tetamunya"
[HR Muslim]

Saya sungguh terpukul apabila mengingat-ingat kembali hadith di atas yang dipaparkan begitu banyak di tanah kelahiran saya, suatu masa dahulu; mungkin sebagai pengingat kepada rakyat negeri, supaya sentiasa memuliakan tetamu.

Masya-Allah, betapa besarnya dan tegasnya justifikasi Allah yang meletakkan suruhan untuk memuliakan tetamu, dengan menggariskannya sebaris dengan keimanan kepada Tuhan dan hari akhirat! Boleh juga disimpulkan, seseorang muslim itu tidak beriman sepenuhnya kepada Allah dan hari kemudian, sekiranya dia belum mampu untuk memuliakan tetamu-tetamunya. Ya, siapapun mereka, muda, tua, kanak-kanak, remaja, hitam, putih, hatta orang kafir sekalipun!


Masih ingatkah kita pada kisah Nabi Sulaiman a.s. yang ditegur direct oleh Allah S.W.T kerana pada suatu saat baginda tidak melayan tetamunya dengan sepenuh hati, dek kerana tetamu lelaki yang datang itu bukanlah dalam kalangan pengikutnya (kafir). Setelah tetamu itu pulang,
datanglah malaikat Jibrail, menyampaikan teguran Allah kepada baginda yang akhirnya membuatkan Nabi Sulaiman terdiam dan bersujud! (sesuai juga dijadikan teguran untuk insan-insan zaman masa kini yang tidak memuliakan tetamunya;)

"Wahai Nabi Allah, Allah menegurmu, mengapa engkau perlakukan tetamu seperti itu ? Jawab Nabi Sulaiman:”Bukankah dia (tetamu itu) dari golongan kafir?"
Jibril bertanya:"Siapakah yang menciptakan langit dan bumi ini?" "Allah!"
Jawab Nabi Sulaiman penuh yakin.
"Siapakah yang menciptakan malaikat, jin dan manusia?" "Allah!"
"Siapakah yang menciptakan tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan?" "Allah!"
"Siapakah yang menciptakan orang kafir itu?" "Allah!"
"Lalu, berhakkah engkau berlaku tidak adil terhadap ciptaan Allah? Sementara Allah adalah zat Yang Maha Adil?"

-sumber : JAKIM

Sedangkan tetamu kafir pun wajib dimuliakan, apatah lagi saudara se-agama? Malahan di akhir kisah, tetamu tersebut akhirnya memeluk Islam kerana hidayah Allah serta kekagumannya akan keagungan Allah yang menegur nabi-Nya, hanya kerana tidak memuliakan dirinya, seorang kafir sebagai tetamu!

Subhanallah, begitulah ISLAM yang dengan segala kesyumulannya mengajarkan kita untuk sentiasa menjaga adab dan akhlak dimana-mana pun juga, untuk memberikan cerminan zahir yang terbaik kepada sebaik-baik agama di muka bumi! Istimewanya muslim, berbuat baik, berakhlak mulia, pasti tersedia ganjarannya. Tidak terkecuali dalam hal ini, apabila kita beradab terhadap tetamu, yang seharusnya dianggap sebagai rezeki dan kurniaan mulia daripada Allah S.W.T!




Rasulullah S.A.W 's guests room


"Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad)
perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan?
Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu
memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!"
lalu Ibrahim menjawab :
"Salam sejahtera kepadamu!"
sambil berkata di dalam hati: Mereka ini orang-orang yang tidak dikenali.
Kemudian ia (para tetamu) masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar (hidangan) seekor anak lembu gemuk( yang dipanggang)."
[51:24-26]

Kisah Nabi Ibrahim a.s. pula; pastinya kisah ini , sebuah kisah yang mulia dan sarat 'ibrah sehingga diabadikan Allah dalam kitab suci-Nya. Kisahnya bermula tatkala Allah mengutuskan malaikat untuk menyerupai lelaki dan menemui nabi Ibrahim. Dalam keadaan tertanya-tanya siapakah sebenarnya tetamu yang datang itu, nabi Ibrahim dengan akhlak mulianya, tetap memberikan layanan yang terbaik kepada tetamunya dan menghidangkan tetamunya dengan daging lembu, makanan yang sungguh istimewa, buat tetamu yang sama sekali tidak dikenali.

Wah, kalau kita berhadapan dengan 'tetamu misteri' begini, bagaimana ya? Jangankan mahu menghidang air dan segala bagai, buka pagar pun belum tentu agaknya!
daging lembu jauh sekali........... ;)

"lalu dihidangkannya kepada mereka. Ibrahim berkata: "Silakan kamu makan".
(Tetapi mereka tidak mau makan), karena itu Ibrahim merasa takut terhadap mereka;"
[51:27-28]

Dijadikan kisah, tetamu-tetamu nabi Ibrahim yang datang, tidak menjamah walau secicip pun hidangan istimewa yang disajikan baginda dan menyebabkan baginda merasakan bahawa tetamu-tetamunya mempunyai niat yang tidak baik, terhadapnya; persepsi lazim orang arab ketika itu kepada mana-mana tetamu yang menolak hidangan daripada tuan rumah. Namun, dengan segera sang tetamu merungkai identiti diri yang sebenar dengan menyatakan bahawa sesungguhnya, mereka adalah malaikat-malaikat yang diutuskan Allah, sebenarnya. Lalu, para malaikat itu pun menyampaikan khabar gembira buat baginda atas kelahiran bakal anak mereka yang alim, nabi Ishak a.s.

Mereka berkata: "Janganlah kamu takut," dan mereka memberi khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang alim (Ishak).
[51:28]

Dan itulah kisahnya, atas kemuliaan yang disajikan Nabi Ibrahim kepada tetamunya, meski tidak mengenali walau satu pun daripada mereka, Allah S.W.T dengan sifatNya yang pemurah dan penyayang telah mengganjari kebaikan tersebut dengan kurniaan zuriat sebagai rezeki atas kemuliaan hatinya,bahkan isterinya juga tidak mempercayai khabar ganjaran tersebut pada awalnya! Sungguh, ganjaran yang cukup besar dan tidak disangka-sangka tiba, hanya bertitik-tolak daripada akhlak yang mulia terhadap tetamu!

Tidak cukup besarkah dua ganjaran yang diabadikan dalam kedua-dua kisah ini? Hanya dengan memuliakan tetamu, seorang zuriat lahir, sebagai hadiah. Hanya dengan memuliakan tetamu, terduduklah seorang kafir, melafazkan syahadah! Tidak tergambar hebatnya pula, bagaimanakah ganjaran yang akan diterima, di akhirat kelak. Ingat, akhlak memenuhkan separuh timbangan amal kebaikan kita!

Maka? falyukrim dhoyfuh, pahalamu menanti, ganjarannya pasti;
Dan kini kepingan duit hijau telah siap dalam sampulnya,kuih raya dalam bekas sudah molek tersedia, penapis air juga telah diselesaikan masalahnya, saya tersenyum dan menunggu-nunggu kedatangan tetamu hari ini dengan senyuman serta pintu dan hati yang lebih bersedia, ikhlas dan terbuka!

Jemputlah datang ke rumah, usaha mencari dan 'memberi' keberkatan!
No. 109, Jalan Bukit Impian 11 (Impian Utara, fasa 6), Taman Impian Emas,81300 Skudai,Johor Bahru, Johor, Malaysia.

Allahumma Solli 'Ala Muhammad.

To Make People Understand™
Bicara-Sang-Khalifah2010


**p/s : Inilah masalah hidup di negara yang terlalu 'exam-oriented', topik adab dengan tetamu hanya dihafal sungguh-sungguh bagi memastikan A digenggam dalam tangan! ya, untuk subjek Pendidikan Islam zaman PMR dahulu, saya tak pernah mendapat selain daripada gred A, dan begitulah kebanyakan rakan-rakan saya yang lain, tetapi, adakah saya, adakah kamu, adakah kita; berjaya mempraktikkannya dengan sebenar-benar nilaian dalam kehidupan? Tepuk dada, tanyalah diri, -ilmu iman amal!

2 komentar:

syifa' kamarudin said...

ili! :)

sronok bc. tsengih2 ana dpn komp.

ha'a kita nak SPM mmg pke nak blaja je... ttamu ana dkt bawah pn ana x layan sgt!

entry yg mnarik & mbuatkn ana bfikir & tsengih :)

Gud luck SPM
doakan kami di gombak juge...

-Syifa'
Alamin gombak

-ilisyazwani- said...

Salaam syifa'! :)
lama tak dgr khabar~

ish, tersengih2 tu sbb terkena ke?
he,he~ this is just an another way to express what i felt;

moga bermanfaat!

bittaufiq+tafawwuq juga utk SPM;
mendoakan kejayaan bersama, hadiah untuk Islam! :)

salam ukhuwah.