Demi pena , dan apa yang dituliskannya; [68:1]

Monday, September 06, 2010

keseimbangan?

Bismillahirrahmanirrahim [96:1]

Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...




Allahuakbar, sudah menjelang hari ke-27 Ramadhan untuk tahun ini. Apa khabar rohani kita? Semoga semakin segar dengan keimanan dan ketaqwaan yang cemerlang berlipat ganda kini, hasil kejayaan melalui hari-hari Ramadhan!

Teringat analogi seorang ulama', Ramadhan ibarat pulau persinggahan untuk kita selaku pengembara di dunia ini; masa yang diberi hanya sebulan untuk mengutip segala macam bekalan untuk perjalanan 365 hari yang seterusnya! Letakkan diri kita dalam kasut pengembara tersebut, bayangkan betapa rakusnya kita akan cuba berusaha mendapatkan kesemua jenis bekalan sepanjang tempoh yang diberi. Daripada makanan, minuman , pakaian sehinggalah ke tukul, kayu dan paku, persediaan menampal kapal bocor! Pasti begitu bukan? Iyalah, takut-takut kebuluran dan kesusahan kelak di tengah jalan, didorong pula dengan pepatah melayu, pesanan sejak kecil, 'sediakan payung sebelum hujan'!




Namun, bagaimanakah pula situasi diri kita sebenarnya di bulan Ramadhan ini? Adakah lagak kita sedemikian benar-benar memanfaatkan'persinggahan' Ramadhan ini, atau belagak menjadi pengembara yang sudah serba berkecukupan? Sedarlah, betapa jiwa kita sebenarnya sangat mendahagakan bekalan di bulan Ramadhan ini. Alangkah ruginya andai kita terlepas peluang daripada merebut segala tawaran istimewa Allah di bulan ini! Tidak takutkah kita dengan perjalanan setahun akan datangyang bakal bermula sebentar lagi, dengan bekalan yang masih belum cukup ini? Tidak gerunkah pula andai 'pancit' di tengah jalan kelak? Pada saat ini, Ramadhan masih bersisa, manfaatkanlah sebaiknya, sebelum nakhoda kapal memanggil kita kembali meneruskan pelayaran!

Untuk diri saya sendiri dan rakan-rakan seangkatan yang lain, sebulan Ramadhan kali ini, dihabiskan dengan perjuangan di medan peperiksaan. Bukan calang-calang peperiksaan; Besar juga nilai penentunya untuk kehidupan masa depan! Tidak dapat dinafikan, pada awalnya (sehingga kini , mungkin?) diri ini sangat merasakan kehadiran peperiksaan kali ini sangat mengganggu diri dalam menyambut dan meraikan Ramadhan sepenuh hati, sebaik-baiknya. Masakan tidak, 24 jam harus bergelumang dengan buku-buku dan kertas-kertas duniawi yang menggunung!; Ditambah pula dengan kelemahan diri yang susah hendak fokus kepada pelbagai benda pada satu masa- -_-"

Namun, inilah cabaran. Sudah berapa lama Allah memberikan kami peluang untuk menikmati Ramadhan dengan hati yang senang dan masa yang lapang. dan kini, datanglah ujiannya. Ujian untuk melatih kesederhanaan diri antara dua perkara yang bertentangan! Ya, itulah yang dimaknakan dengan tawazun, keseimbangan. Apakah kita mampu menjadi hamba yang menjaga prinsip 'tawazun' dalam usaha memaksimumkan amal di bulan Ramadhan ini? Memperbanyakkan amal soleh semestinya tidak menganjurkan kita bersikap terlalu 'extreme' dalam ibadah yang disyariatkan, namun dengan melaksanakannya selari dengan kemampuan tenaga, masa dan harta serta kesanggupan, tanpa pula meremeh-remehkannya! Dan pada masa yang sama, tidak mengenepikan hal-hal keduniaan lainnya yang sudah menjadi tanggungjawab dalam kehidupan.




"Bersikap sederhanalah, bersikap seimbanglah pasti kalian akan tiba ke kemuncaknya".
[HR Bukhari]

Sudah berapa kerap nasihat tentang tawazun singgah di corong telinga ini. Maklum sahajalah, pelajar sekolah islam. ;) Namun, bila tiba saat mempraktikkannya, masya-Allah; bukan mudah! Kerana tawazun inilah yang akan sentiasa memberi nilai tambah dan nafas segar kepada kehidupan seorang hamba dalam kehidupan. Namun, silap langkah, semakin tercungap-cungap jadinya! Itulah resmi kehidupan kita, seorang hamba yang sentiasa diuji kebolehannya dalam menyeimbangkan hal-hal duniawi dan ukhrawi. Dan tawazunlah rahsianya, bagi seorang hamba untuk mendapatkan kebahagiaan hakiki dalam hidup di sisi Allah; Jiwa akan sentiasa tenteram dalam kebahagiaan, gerak kerja kekal dalam kesenangan, ibadah-ibadah terlaksana dalam ketenangan juga kejayaan melepasi segala ujian dengan penuh kesabaran!

Demikianlah juga halnya dalam di jalan dakwah, jalan panjang sepanjang wujudnya zaman ini. Penggeraknya dituntut untuk sentiasa menjaga keseimbangan; bagi mengekalkan hammasah dan kecekalan di jalan ini. Refleksi sikap ini amatlah diperlukan sebagai qudwah serta dalam melestarikan usaha-usaha dakwah di muka bumi Allah ini.

Sebaik-baik qudwah, sudah tentunya Rasulullah S.A.W; Baginda seorang mukmin yang kuat, pemimpin dan ahli ibadah yang zuhud juga panglima perang yang gigih dan berani. Dalam kehidupan keluarga, bagindalah sebaik-baik pemimpin keluarga sekaligus guru, baik terhadap isteri, anak-anak serta seluruh kerabatnya.

Asasnya? Patuhi sahaja lima syarat ini ; Ruhi yang mantap, ilmu dan wawasan yang berkecukupan, kelaziman sikap, fizikal yang sihat serta minda yang positif. Akan terbinalah modal insan dan terlahirlah kita sebagai daie juga manusia yang tawazun, insya-Allah.

Doa saya untuk semua yang membaca, semoga kita berjaya menjadi manusia yang seimbang dalam segenap aspek kehidupan, sebagai kredit untuk melayakkan diri, melangkah ke syurgaNya!

WallahuA'lam. To Make People Understand.
Bicara-Sang-Khalifah 2010

1 komentar:

sufiyyah zulkifli said...

amiin!!
:)

dlm KPM, JERIS. huhu. manusia seimbang.


ya. islam itu syumul. no doubt. :)